Ikut

Wednesday, May 11, 2011

KES SIMBAH ASID

Entah kenapa chekiah rasa ngeri dengan kes2 yang sebegini rupa. Hari2 macam2 kisah yang berlaku dan kadangkala hingga tidak tercapai dek akal sihat kita. Apa2pun dimana kita berada dan apa yang kita buat kita harus meningkatkan lagi sikap hati2 dan waspada.

**********************************

Sumber Utusan OnLine - 10 May 2011

Mangsa simbah asid trauma keluar rumah

KUALA LUMPUR 9 Mei - Meskipun hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian mata akibat disimbah cecair jenis 'thinner' oleh seorang lelaki, seorang ibu yang kini sarat mengandung trauma untuk keluar rumah seorang diri.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Yati, 30, masih tidak dapat melupakan kejadian bagaimana suspek yang menaiki motosikal tiba-tiba muncul dari arah belakang dan menyimbah cecair itu mengenai muka dan badannya.

Kejadian itu, menurut Yati, berlaku di hadapan sebuah vila yang disewa keluarganya untuk menjalankan aktiviti riadah di Persiaran Titiwangsa di sini, pada pukul 3 petang, Sabtu lalu.

"Ketika itu, semua ahli keluarga berkumpul di dalam rumah. Saya keluar sekejap ke tempat letak kereta untuk mengambil lampin pakai buang anak saya.

"Sebaik sahaja saya membuka pintu kereta, datang seorang lelaki bermotosikal dari belakang dan menyimbah cecair itu menyebabkan muka dan badan saya basah.

"Saya kini takut untuk keluar rumah kerana masih terbayang kehadiran lelaki itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Ampang, hari ini.

Yati ialah salah seorang mangsa simbahan cecair dipercayai asid jenis 'thinner' dan 'alkali' yang dilaporkan berlaku di ibu negara sejak kebelakangan ini.

Polis sedang mengesan dua lelaki bermotosikal yang dipercayai menyasarkan golongan wanita di daerah Dang Wangi, Sentul dan Brickfields sebagai mangsa simbahan cecair itu.

Yati memberitahu, simbahan cecair tersebut mengenai bahagian matanya dan amat memedihkan sehingga tidak dapat membukanya.

"Saya menjerit meminta tolong dan segera masuk ke dalam rumah untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Suaminya yang terkejut melihat keadaannya segera keluar rumah untuk menangkap suspek, bagaimanapun lelaki itu sempat menghilangkan diri.

Katanya, dia dihantar ke Pusat Rawatan Pusrawi sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.


*********************************************************************************************

22 kes simbah asid, polis tingkat kawalan

KUALA LUMPUR 9 Mei - Polis mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan di beberapa lokasi di ibu negara dikenal pasti menjadi tumpuan dua lelaki bermotosikal yang terlibat dalam 22 kes menyimbah cecair dipercayai asid.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, siasatan mendapati kebanyakan wanita yang menjadi mangsa diserang semasa bersendirian atau berjalan di laluan tidak sesak menuju ke kawasan letak kereta atau stesen transit aliran ringan (LRT).

"Lokasi yang kerap menjadi sasaran suspek adalah di tepi jalan sekitar kawasan sekolah, tempat letak kereta, stesen LRT dan pondok menunggu bas.

"Polis kini meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan di tempat-tempat tersebut dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang mendakwa suspek di mahkamah jika ditangkap," katanya di sini hari ini.

Chin Wah berkata, perbuatan tersebut dikesan aktif mulai Februari hingga 27 Mac lalu apabila 18 kes dilaporkan berlaku dalam tempoh tersebut.

Katanya, kejadian yang reda seketika selepas 27 Mac lalu, didapati berulang kembali pada 6 dan 7 Mei lalu dengan masing-masing dua kes dilaporkan di daerah Sentul dan Dang Wangi.

"Kebanyakan mangsa adalah kalangan wanita yang dalam perjalanan pergi dan pulang bekerja tetapi terdapat juga serangan berhampiran sekolah di sekitar Bangsar dan Brickfields.

"Suspek dipercayai seorang atau dua lelaki berketurunan India bermotosikal yang akan datang dari arah belakang mangsa sebelum bertindak menyimbah sejenis cecair dipercayai 'Alkaline-based' atau 'Oxidizing Agent' ke arah muka atau badan mangsa," katanya di sini hari ini.

Menurut Chin Wah, cecair terbabit memberi kesan gatal kepada mangsa jika terkena kulit tetapi tidak mengakibatkan lecur.

"Orang ramai yang menjadi mangsa atau melihat kejadian itu diminta melaporkan kepada polis di talian 'hotline' 03-21159999 agar tindakan segera dapat diambil untuk mengesan dan menangkap penjenayah terlibat," katanya.

No comments:

Post a Comment